Siti Hajar memerhatikan sekelilingnya yang sunyi dan sepi. Dia berasa sedih dan kesal. Dia tidak mengerti sebab dia dan anaknya yang masih kecil dan tidak berdosa ditinggalkan di tempat itu tanpa sebarang perlindungan. Tanpa berlengah lagi, Siti Hajar mengejar Nabi Ibrahim dari belakang. Dia memanggil suaminya dan bertanya, “Abang, ke manakah abang hendak pergi? Mengapakah abang tinggalkan kami di lembah ini yang tiada orang dan tiada apa-apa di sini?”
Siti Hajar merayu-rayu dan meminta supaya suaminya berbelas kasihan kepadanya. Dia meminta Nabi Ibrahim tidak meninggalkan dia dan anaknya di situ, di tempat yang menakutkan. Namun begitu, Nabi Ibrahim tidak menjawab pertanyaan Siti Hajar. Malah, dia tidak menoleh ke belakang kerana bimbang perasaannya berubah dan mengabaikan perintah yang diterimanya daripada Allah.
Apabila melihat suaminya tidak menoleh ke belakang, Siti Hajar bertanya lagi. Dengan suara sayu , dia berkata, “Wahai suamiku! Adakah ini perintah daripada Tuhan yang memerintahkan abang meninggalkan saya dengan anak kecil ini di tempat yang sunyi?”
Nabi Ibrahim menjawab tanpa menoleh ke belakang, katanya, “Ya, Benar.”
Mendengar jawapan itu, Siti Hajar menerimanya dengan tenang. Dia berkata kepada dirinya, “Jika ini perintah daripada Tuhan, sudah pasti Tuhan tidak akan mensia-siakan kami berdua.”
Kemudian Nabi Ibrahim menadah tangan berdoa. “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku menempatkan dari keturunanku di lembah yang tiada mempunyai tanam-tanaman yang berdekatan dengan rumah suci engkau. Tuhan kami! Ingatkanlah mereka supaya mengerjakan sembahyang, sebab itu jadikan hati manusia tertarik kepada mereka, dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, semoga mereka berterima kasih.” Surah Ibrahim ayat 37.
Selesai berdoa, Nabi Ibrahim pun menyambung perjalanan pulang ke Palestin. Sementara Siti Hajar pula menyusukan anaknya Ismail. Apabila bekalan habis, anaknya mula menangis dan baharulah Siti Hajar menyedari keadaanya yang sebenar. Dia kini tinggal di tempat yang gersang. Dia bangaun seperti orang gila. Dirinya sendiri merasa lapar dan dahaga yang tidak terkata. Tiba-tiba dia merasa takut dan bimbang apabila melihat anaknya bernafas dengan payah seolah-olah berhadapan dengan maut. Sedangkan dia tangannya tiada apa-apa yang boleh diberikan kepada anaknya.
Dalam keadaan kelam kabut Siti Hajar menuruni Bukit Safa menuju ke lembah dan berlari anak. Dia mencari air. Keadaannya tidak tentu arah, seperti orang yang tidak mempunyai tenaga sehingga dia tiba di Bukit Marwah. Dia tidak berputus asa. Dia berlari-lari anak sebanyak tujuh kali antara bukit Safa dan Marwah. Sehingga dia berasa begitu letih dan akhirnya terjatuh. Badannya kehabisan tenaga dan tidak bermaya lagi. Anak yang dikendongnya kelihatan tercungap-cungap. Dia memandang dengan hati yang sayu. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya seperti menghadapi maut, sebentar bernafas dan sebentar lagi tidak bernafas.
Ismail adalah satu-satunya anaknya. Apakah yang perlu dilakukan sekarang? Siti Hajar menangis sekuat hati. Dia begitu sedih. Di tanah yang lapang dan sepi, ditambah dengan keadaan kering kontang dan bahaya binatang buas, dia bertawakal. Tanpa disangka-sangka, datang sekumpulan burung berterbangan dan berlegar-legar di tempat itu. Burung-burung itu hinggap di atas tanah dan mula mematuk-matuk bumi dengan paruh. Burung-burung terus mematuk. Tiba-tiba, air memancut dari bawah bumi itu.
Melihat keadaan itu, Siti Hajar bersemangat semula. Kekuatannya kembali pulih. Dia menerpa kearah pancutan air itu dan menadahnya, lalu disuapkan ke mulut anaknya. Dengan tenaga yang sudah pulih, Siti Hajar mengorek lubang dan mencedok air. Setiap kali dia mencedok air, air itu keluar dengan banyaknya. Itu adalah asalnya air zam-zam dan sangat masyhur sehingga hari ini dipanggil telaga zam-zam.
Siti Hajar dan Ismail tinggal berdekatan dengan telaga Zam-zam. Tidak berapa lama kemudian, datanglah orang-oran daripada suku Jurhum melalui jalan itu dan hendak ke negeri Syam. Apabila mereka berhenti seketika di Mekah, mereka melihat sekumpulan burung berterbangan mengelilingi tempat di mana Siti Hajar dan anaknya tinggal. Salah seorang daripada mereka berkata, “Burung-burung selalu beterbangan di tempat-tempat yang mempunyai air. Setahu saya tempat itu tidak ada air.” Mereka pun mengutus seorang untuk meninjau tempat itu. Kemudian, mereka datang bertemu Siti Hajar dan anaknya di tempat yang mempunyai air itu. Siti Hajar membenarkan kaum Jurhum tinggal bersama-samanya dengan syarat air itu tetap menjadi miliknya. Siti Hajar memberi air kepada kafilah-kafilah yang lalu sekali –sekala di gurun itu dan menukarkannya dengan apa sahaja yang diinginkannya.
Bersambung....
